Apakah Pemalsuan Kad dan Penipuan ATM?

Pemalsuan Kad
Pemalsuan kad adalah satu istilah yang luas bagi aktiviti pencurian dan penipuan yang dilakukan dengan menggunakan atau melibatkan pembayaran, seperti kad kredit atau kad debit, sebagai sumber penipuan dana di dalam transaksi. Berkemungkinan ia dilakukan untuk mendapatkan barangan tanpa membuat pembayaran, atau mendapatkan dana tanpa kebenaran dari akaun.

Bagaimana Pemalsuan Kad Berfungsi
Skimmers adalah peranti elektronik yang digunakan untuk menyalin maklumat daripada jalur magnetik yang terdapat pada kad untuk membuat kad klon atau melakukan pembelian di internet. Penjenayah menggunakan atau menjual kad klon tersebut.

Bagaimana Mengelakkan Pemalsuan Kad

Lindungi Kad Awda:-
– Simpan kad awda di lokasi yang selamat.
– Maklumkan pengeluar kad dengan serta-merta jika kad awda hilang atau dicuri.
– Maklumkan pengeluar kad jika awda akan membuat perjalanan ke luar negara atau jika awda berpindah.
– Perhatikan kad awda semasa membuat transaksi.

Lindungi Akaun Awda:-
– Potong atau musnahkan kad awda apabila tamat tempoh atau tutup akaun awda.
– Periksa mesin ATM sebelum menggunakannya.
– Jangan semak kewangan awda secara dalam talian semasa berada di tempat awam.
– Elakkan menulis nombor PIN awda di atas kad awda atau berdekatan dengannya.
– Simpan semua rekod nombor akaun awda di tempat yang selamat.
– Musnahkan semua dokumen yang merujuk kepada akaun awda.
– Semak resit pembelian dengan penyata akaun awda pada setiap bulan.

Lindungi Identiti Awda:-
– Elakkan daripada mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor keselamatan sosial atau tarikh lahir awda kecuali jika awda yang memulakan komunikasi.
– Berhati-hati agar tidak terlalu berkongsi maklumat semasa di laman rangkaian sosial atau dalam talian.
– Musnahkan semua dokumen yang mengandungi maklumat peribadi awda.
– Laporkan aktiviti penipuan pancingan (phishing) dengan serta-merta kepada bank awda.

Penipuan ATM

Apakah penipuan ATM? Penjenayah meletakkan peranti pada pemuka mesin ATM yang kelihatan seperti sebahagian daripada mesin tersebut. Ini akan membolehkan penjenayah untuk membaca secara cepat maklumat yang terdapat pada kad tersebut, dan menggunakannya untuk mengakses akaun awda secara tidak sah. Maklumat kad awda akan disimpan dalam peranti yang memudahkan penjenayah untuk mendapatkannya kemudian. Selain, itu, penjenayah juga menyembunyikan kamera kecil dalam pemegang risalah berdekatan dengan mesin ATM untuk mendapatkan nombor PIN mangsa.

Penjenayah boleh mencuba untuk mencuri kad atau butiran kad dengan menggunakan kaedah yang berikut:

Peranti Pembaca Kad & Kamera
Penjenayah melampirkan peranti pada mesin ATM bagi mencatat butiran elektronik yang terdapat pada jalur magnetik kad awda. Sebuah kamera kecil diletakkan pada pad PIN untuk merakam ketika awda memasukkan PIN. Penjenayah kemudiannya menggunakan butiran untuk menghasilkan kad jalur magnetik yang palsu, dan dengan menggunakan PIN awda, membuat pengeluaran wang tunai pada mesin ATM di luar negara yang tidak menggunakan perlindungan cip dan PIN.

Pelayaran Bahu (Shoulder surfing)
Pelayaran bahu ialah istilah yang digunakan apabila penjenayah memerhatikan awda memasukkan PIN di mesin ATM atau semasa berada di kedai. Penjenayah akan mencuri kad awda dengan mengalihkan perhatian atau mencurinya terus daripada poket awda.

Peranti Penjebakan Kad (Card trapping devices)
Penipuan ini berlaku apabila penjenayah memasang peranti di mesin ATM untuk menjebak kad awda. Apabila awda menggunakan mesin ATM, kad awda akan tersekat di dalam mesin tersebut, dan penjenayah akan cuba memperdaya awda untuk memasukkan semula PIN sambil memerhatikan tindakan awda. Apabila kad awda tidak dikembalikan, awda beranggapan bahawa kad tersebut telah tersekat di dalam mesin ATM, dan awda akan meninggalkannya untuk membuat aduan. Penjenayah akan mengambil kesempatan ini untuk mengalihkan peranti tersebut, seterusnya mengeluarkan kad awda dari mesin, dan menggunakannya untuk membuat pembelian.

TIP MENGGUNAKAN ATM DENGAN SELAMAT

KAD ATM DAN PIN
Simpan kad mesin juruwang automatik (ATM) awda dengan selamat. Gunakan PIN yang sukar diteka dan berbeza-beza bagi perkhidmatan yang berlainan. Tukar PIN awda sekerap mungkin. Jangan simpan kad dan PIN awda bersama-sama.

ATM
Berwaspada terhadap sebarang perkara yang luar biasa yang terdapat pada slot kad, papan kekunci dan penutup papan kekunci (contohnya jika terdapat sebarang peranti yang mencurigakan yang dipasang pada mesin ATM). Tutup papan kekunci dengan tangan awda ketika memasukkan PIN serta pastikan tiada sesiapa yang mengintai PIN awda.

KENDALI PENGELUARAN WANG TUNAI AWDA
Kira wang tunai dengan serta-merta setiap kali selepas membuat pengeluaran wang. Jangan ambil sebarang wang kertas atau kad ATM yang tertinggal pada slot pengeluar wang tunai atau slot kad di mesin ATM berkenaan. Biarkan wang kertas serta kad ATM tersebut masuk semula ke dalam mesin ATM secara automatik.

PENGELUARAN WANG TUNAI DI LUAR NEGARA
Jika awda bercadang untuk membuat pengeluaran wang tunai dari mesin ATM di luar negara, semak dengan bank awda sama ada kad tersebut boleh digunakan di destinasi yang dituju. Awda juga perlu mengaktifkan dengan lebih awal fungsi pengeluaran wang tunai ATM di luar negara, dan menetapkan had dan tempoh pengaktifan bagi pengeluaran wang tunai.

PESANAN DARIPADA BANK
Semak rekod transaksi yang disediakan oleh bank awda tepat pada masanya. Maklumkan pihak bank dengan serta-merta jika awda kehilangan kad ATM, atau jika mendapati transaksi dan keadaan yang mencurigakan. Pihak bank tidak akan meminta sebarang maklumat peribadi yang sulit (termasuk PIN) melalui panggulan telefon atau e-mel.

PERINGATAN

Kedai-Kedai dan ATM
Lindungi PIN ATM apabila awda berada di kedai-kedai dan mesin ATM, dan pastikan kad awda tidak lepas daripada pandangan. Jika kad awda tersekat di dalam mesin ATM, laporkan dengan serta-merta. Jangan sesekali membenarkan kad awda terlepas daripada pandangan ketika jurujual menggarut kad untuk membuat pembayaran.

PIN dan Butiran Kad
Jangan gunakan butiran peribadi awda sebagai PIN atau mencatatnya. Jangan berkongsi PIN dengan sesiapa walaupun mereka mendakwa mewakili pihak bank atau polis. Gunakan PIN yang berlainan untuk saluran yang berbeza (contoh: Perbankan Internet, ATM dan perbankan telefon), dan menukarnya secara kerap.

Telefon dan Internet
Ketahui latar belakang penjual sebelum awda memberikan butiran kad. Jangan sesekali menaip PIN awda ke dalam telefon bimbit semasa panggilan telefon. Jika awda perlu menukar nombor telefon bimbit atau butiran perhubungan, pastikan awda memaklumkan pihak bank dengan segera. Ini adalah bagi memastikan awda sentiasa dimaklumkan jika berlaku sebarang transaksi.

Kemas Kini Maklumat kepada Bank
Semak baki dan penyata akaun awda sekerap mungkin, dan maklumkan pihak bank jika awda mendapati sesuatu yang mencurigakan. Pastikan maklumat peribadi awda sentiasa dikemas kini.

Membuat Perjalanan ke Luar Negara
Maklumkan pihak bank awda apabila membuat percutian ke luar negara. Pelanggan akaun dan kad kredit semasa boleh menggunakan perkhidmatan pemberitahuan secara dalam talian. Sentiasa gunakan mesin ATM yang terkini yang dimiliki oleh syarikat-syarikat yang bereputasi. Elakkan menggunakan mesin ATM yang ditempatkan secara berdiri sendiri. Pastikan awda mempunyai nombor talian Kecemasan 24 jam bank awda.

Keselamatan ATM
Jangan gunakan mesin ATM yang mencurigakan atau mengalihkan sebarang peranti yang terdapat pada mesin tersebut. Jika awda berasa ragu, maklumkan kepada pihak bank atau polis dengan serta-merta. Gunakan mesin ATM yang mempunyai pengawasan video atau yang terletak di lobi bank.

Bantuan Orang yang Tidak Dikenali
Tolak sebarang tawaran bantuan daripada orang yang tidak dikenali apabila awda melakukan transaksi. Jangan terima “bantuan” daripada sesiapa yang berlegar-legar di sekitar mesin ATM. Jika awda menghadapi sebarang masalah apabila menggunakan mesin ATM, batalkan transaksi awda, dapatkan kembali kad ATM/kredit awda, dan maklumkan pihak bank.

Pesanan Khidmat Masyarakat
Dibawakan oleh: